Yasser Arafat PEMIMPIN ulung Palestin
PEMIMPIN ulung Palestin, Yasser Arafat meninggal dunia pada 11 November 2004, lapan tahun lalu. Tetapi Rabu lalu, makmal kimia Swiss Lab mengumumkan adanya bahan polonium-210 pada pakaian Arafat.
Maknanya, ada kemungkinan Arafat mati diracun. Untuk mengesahkannya, balu Allahyarham, Suha minta kubur Arafat digali supaya tinggalan jasadnya dapat diuji lagi.
Justeru, jika akhirnya didapati bahawa Arafat dibunuh, persoalannya siapakah yang melakukannya?
Pihak utama yang disyaki utamanya ialah Israel, terutama melalui badan perisikan yang terkenal licik dan cekap, iaitu Mossad.
Tetapi tentulah tuduhan tidak boleh dilemparkan begitu saja. Bukti kena ada. Tetapi pastinya sukar untuk diperoleh. Akhirnya ia akan menjadi salah satu teori konspirasi.
Namun begitu, ada juga kemungkinan pihak-pihak lain yang melakukan pembunuhan itu. Malah di kalangan Palestin sendiri.
Musuh Arafat bukan saja Israel. Di kalangan pihak Palestin juga terdapat musuhnya.
Ataupun banyak pihak terlibat. Semua musuhnya, baik Israel mahupun dalam kalangan Palestin berpakat membunuhnya. Itu pun adalah satu kemungkinan.
Pihak Israel sememangnya amat membenci Arafat. Walaupun ada kalangan yang menyifatkan Arafat ialah tokoh yang lebih mudah dihadapi oleh Israel berbanding orang lain.
Maka pernah didebatkan sama ada Israel lebih untung dengan adanya Arafat daripada ketiadaannya.
Apa yang pasti, Arafat ialah pengasas perjuangan Palestin. Beliau menubuhkan Al-Fatah dan kemudian berjaya menyatukan sedikit sebanyak kumpulan-kumpulan pejuang Palestin di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Andai kata tidak ada Arafat, mungkin tidak ada tokoh yang dapat memulakan perjuangan pembebasan Palestin, apatah lagi menjadi pemimpin yang menjadi penyatu.
Ada satu pendapat menyatakan bahawa apa yang paling dibenci oleh pihak Israel bukannya kemunculan Arafat semata-mata. Tetapi lebih mengecewakan pihak Israel adalah usia Arafat yang panjang.
Bayangkan Arafat memulakan perjuangan ketika remajanya di Tebing Barat yang pada masa itu berada di bawah pentadbiran Jordan.
Atas tekanan Israel, Arafat dibuang dari Jordan. Beliau membawa kumpulannya berpindah ke Beirut, Lebanon. Kemudiannya Israel menyerang dan menduduki Lebanon manakala pejuang Palestin terpaksa berpindah ke Tunis, Tunisia.
Bagi Israel, walaupun gerakan pembebasan Palestin ditekan, Arafat tidak mati-mati.
Akhirnya apabila berlaku intifadah dan tertubuhnya Pihak Berkuasa Palestin, tidak ada orang lain yang sesuai untuk memimpin Palestin kecuali Arafat.
Israel telah melakukan pelbagai cara termasuklah menyerang pejabat Arafat tetapi beliau tidak mati-mati hinggalah 11 November 2004. Kematiannya menjadi misteri. Para doktor di Perancis yang merawatnya tidak boleh menetapkan punca kematiannya.
Selepas kematiannya, tidak ada pemimpin yang kuat muncul dari kalangan pejuang Palestin. Para penggantinya baik daripada Fatah, mahupun PLO tidak ada yang boleh menggantikan ketokohannya.
Konspirasi
Sementara di pihak Hamas, mereka tidak pula dapat menjadi pemimpin untuk semua kumpulan Palestin, iaitu dalam kalangan golongan sekular.
Malah sebaliknya Hamas dan Fatah bertempur dan berbunuhan sesama sendiri. Dalam pada itu, sudah ramai pemimpin yang dibunuh secara terbuka oleh Israel.
Timbul juga teori konspirasi yang mengatakan bahawa pihak-pihak Palestin sendiri yang mungkin membunuh Arafat kerana beliau dianggap telah berunding dengan pihak Israel, sedangkan Hamas bersikap keras dan menolak sebarang kompromi dengan Israel. Maka mungkinkan kalangan Hamas sendiri yang mahu menghapuskan Arafat?
Tetapi kemungkinan juga Israel atau pihak-pihak luar, iaitu kuasa besar yang sememangnya tidak mahu perdamaian dicapai di Palestin. Arafat mungkin boleh merintis kepada perdamaian. Sedangkan Hamas sukar untuk mencapai persetujuan.
Sementara itu, bahan polonium-210 sukar untuk diperoleh. Hanya organisasi besar yang boleh mendapatkannya.
Yang menjadi mangsa sebelum ini ialah bekas perisik KGB, Alexander Litvenko yang berpaling tadah. Litvenko memeluk Islam dan menyertai pejuang Chechnya menentang Rusia. Beliau dibunuh di London dan dipercayai dilakukan oleh perisik Rusia.
WikiLeaks yang memetik kabel diplomatik pada 26 Disember 2006 ada menyebut bahawa keganasan kimia kemungkinan boleh dilakukan oleh negara Korea Utara, Pakistan, Afrika Selatan, Libya, Iran, India dan Israel.
Dalam hal ini, negara yang menarik perhatian ialah Israel.
Mereka mempunyai kemampuan untuk melakukan apa jua keganasan, termasuk melibatkan bahan kimia.
Kumpulan-kumpulan Palestin tidak mampu menggunakan bahan kimia canggih seperti polonium-210.
Yang berkepentingan untuk membunuh Arafat adalah Israel.
Lihatlah setelah ketiadaan Arafat, pihak Israel dengan mudah mengetepikan sebarang usaha untuk mendapatkan perdamaian.
Mereka sering menyalahkan Hamas dan mengaitkannya dengan Islam serta keganasan. Sesuatu yang mereka tidak dapat lakukan terhadap Arafat kerana beliau mendokong sekularisme.
Bagi mereka Arafat mesti dihapuskan.
No comments:
Post a Comment