Firman Allah SWT
"Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Ditangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."(Ali Imran; 26)
Friday, July 6, 2012
Harapan orang muda
HARAPAN ORANG MUDA
GOLONGAN belia nampaknya tidak sabar menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Belia pada hari ini tidak seperti belia pada PRU lalu kerana ramai belia pada hari ini mempunyai akuan Twitter, Blog, Facebook malah ramai mempunyai smartphone seperti Blackberry, Iphone yang boleh membentuk laman sembang dalam Blackberry messenger atau WhatsApps. Maklumat belia di hujung jari sahaja dan mereka sentiasa mendapat akses dalam laman web yang senang didapati.
Pendek kata ketika dalam tandas sekalipun, golongan belia sibuk melayari internet melalui telefon bimbit masing-masing. Pernah satu hari seorang rakan saya sempat lagi melintas jalan tanpa menoleh kiri dan kanan kerana taksub dengan smartphone. Itulah hakikat ketika ini, zaman sekarang manusia sedang mengalami perubahan dalam mendapatkan maklumat terkini mengenai apa-apa isu termasuk politik negara ketika ini .
Oleh itu, bakal-bakal Yang Berhormat (YB) ketika ini sibuk membuat akaun twitter mereka sendiri untuk mendapatkan pengikut mereka seberapa ramai yang mungkin. Belia juga tidak perlu menunggu berita utama di televisyen setiap jam 8 malam kerana belia sudah boleh mendapatkan maklumat mengenai berita melalui smartphone. Oleh itu tidak kira Menteri, Ahli-ahli Parlimen dan mereka yang bercita-cita menjadi YB harus bersedia dengan belia pada kali ini. Belia sedang menjadi juruaudit untuk Menteri, Ahli-ahli Parlimen dan mereka yang bakal menjadi YB.
Lubuk hati belia pada hari ini hanya memilih pemimpin yang bersih dan bebas daripada skandal. Mereka sudah melihat watak- watak pemimpin melalui Youtube dan cerita-cerita daripada bloggers. Ramai YB sedang sibuk mengemas kini status di Facebook atau Twitters masing-masing untuk menunjukkan mereka sibuk bekerja.
Malah ada juga Ahli Parlimen menjadi ratu twitter yang senantiasa kemas kini cerita tetapi melupakan belia di kawasan sendiri. Ada juga berbohong kononnya beliau sibuk membantu mangsa-mangsa kebakaran tetapi sebaliknya berada di tempat lain. Itulah gelagat YB di zaman dunia media baru ketika ini.
Namun demikian, belia pada hari ini lebih matang berbanding belia ketika dahulu. Belia pada hari ini lebih bijak untuk menentukan parti yang akan memerintah negara pada PRU yang akan datang. Belia akan memilih pemimpin dan calon yang jujur dan ikhlas dalam memimpin negara. Belia menganalisis pelbagai maklumat dan berkongsi segala maklumat mengenai isu-isu semasa. Belia pada hari ini lebih pantas mengetuai isu-isu semasa berbanding belia ketika dahulu. Setiap saat terdapat berita-berita terkini mereka dapat mengetahui.
Ramai pemimpin sedang sibuk menawan hati belia dengan bersantai bersama belia , berbasikal bersama belia dan bermain futsal bersama belia. Ada juga yang melucukan, pemimpin yang tidak memiliki seluar jeans sebelum ini sanggup membeli seluar jeans kerana ingin menawan hati pengundi muda. Ini membuktikan bahawa mereka nampak bahawa undi penentu ditentukan oleh golongan muda. Anak muda sudah bersedia untuk memilih pemimpin dalam PRU akan datang. Mereka telah habis audit dan melihat prestasi YB masing-masing dan juga parti politik.
Parti-parti politik jangan salahkan belia jika mereka membuat pilihan nanti kerana belia mempunyai alasan tersendiri dalam membuat pertimbangan. Jangan labelkan mereka dengan pelbagai label jika parti tersebut tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan berjaya. Ahli-ahli politik diingatkan jangan menjadikan politik sebagai kerjaya kerana ia hanya menyebabkan mereka mementingkan diri sendiri. Jadikan politik sebagai satu tanggungjawab untuk membantu rakyat dan membela masyarakat.
Apa gunanya menjadi ahli politik hebat pada pandangan rakyat tetapi masih ada rakyat di kawasannya sendiri terpaksa mencatu makanan dan hidup terbiar kerana kemiskinan disebabkan tiada bantuan. Masih ada lagi anak-anak kampung di kawasan sendiri keciciran dalam mendapatkan pelajaran disebabkan kemiskinan. Ramai golongan muda tidak berdaftar dengan parti-parti politik kerana mereka sendiri tidak berminat menjadi ahli parti disebabkan mereka lebih selesa menjadi aktivis masyarakat dan menjadi pemerhati sahaja. Kadangkala menjadi ahli parti politik sekadar dipinggiran semata-mata akan menyebabkan mereka berasa kecewa dan lebih baik mereka sibuk di dalam twitters dan facebook berjuang dengan cara mereka.
Justeru itu, jadikanlah PRU akan datang mendekatkan golongan belia dengan politik. Pepatah ‘politic is not dirty but politicians make it dirty’ perlulah dikikis dalam amalan politik Malaysia. Parti politik yang jujur mesti diberi peluang dalam pemerintahan.
Belia tidak menuntut janji bulan dan bintang dalam manifesto sebaliknya belia hanya menuntut kebajikan rakyat terbela dan dibela. Jika longkang di kawasan kampung sendiri telah pecah janganlah berjanji macam-macam.
Belia kenal siapa pemimpin berbulu ayam, hipokrit dan suka berpura-pura kerana belia hari ini lebih cerdik menilai mereka ini dengan mudah. Sebab itu Perdana Menteri menekankan konsep winnable candidate calon pilihan raya akan datang. Jangan hanya jadi jaguh dalam parti tetapi pada padangan masyarakat mereka ini tidak layak menjadi YB kerana imej yang buruk. Belia tidak akan membuat eksperimen memilih kerajaan kerana mereka telah tahu siapa yang akan mereka undi. Hak mengundi akan digunakan dengan penuh tanggungjawab kerana tangan mereka akan menentukan masa depan negara.
Belia akan membuat perhitungan tidak lama lagi dan menjadi hakim dalam membuat pilihan. Belia akan singkirkan pemimpin yang korup dan malas bekerja untuk rakyat. YB yang tidur di kawasan masing-masing jangan sibuk untuk bermain twitter sahaja. Simpanlah smartphone di rumah, pergilah bersalam mesra dengan rakyat dan berkicaulah berkerja untuk rakyat. Lebih baik mereka membeli kasut but dan cangkul dan tungkul untuk bekerja membaiki rumah dan atap yang bocor di rumah yang memerlukan daripada sibuk membeli smartphone yang canggih kononnya boleh bekerja daripada smartphone.
Belia juga diingatkan jangan terpesona dengan berita-berita fitnah dalam twitter dan blog kerana ianya hanyalah sebuah cerita dongeng dalam musim pilihan raya. Dulu-dulu kita selalu mendapat risalah diletakkan di rumah masing-masing tetapi cara itu sudah ketinggalan tetapi penyebaran itu boleh dilakukan melalui email, facebook, twitter dan blog.
YB-YB jika terserempat dengan belia tegurlah mereka dan singgah minum jika ada kelapangan. Kita boleh sembang-sembang santai sambil menikmati teh tarik dibelanja oleh YB. Jangan ajak belia minum di hotel kerana nanti poket YB makin susut cepat. Jika ada persatuan belia minta sumbangan piala, bola atau banner janganlah berkira sangat kerana ini musim pilihan raya. Tangan YB perlulah sentiasa pemurah ketika ini kerana nanti belia kecil hati Harapan belia kepada YB hanya satu, jagalah negara kita kita dengan aman dan sejahtera.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment