Ada orang bertanya, kenapa bukan Melayu di Malaysia lebih Cina daripada orang Cina di negeri China atau lebih India daripada orang India di India? Sehinggakan orang Cina di China (India di India) yang berkahwin dengan orang Cina (India) Malaysia pun menggeleng kepala melihat gelagat mereka di sini, terlalu ultra kiasu. Namun, saya katakan, tidak semua bukan Melayu sebegitu. Produk Cina (India) aliran sekolah kebangsaan kurang kiasunya berbanding dengan produk sekolah jenis kebangsaan (SJKC/T, SMJKC dan IPTS) yang kebanyakannya ultra kiasu dalam tindakan. Pokoknya, mereka perlu bercampur.

Malangnya, masih ramai tidak bercampur, tidak dapat menguasai dan menghayati agenda kebangsaan, misalnya bahasa kebangsaan, seperti generasi pertama. Sedangkan hari ini rata-ratanya terdiri daripada generasi kedua dan ketiga. Persoalannya, kenapa terlalu sukar untuk ‘mengasimilasikan’ diri (bercampur)? Wujudkah bangsa Malaysia sebagaimana yang diuar-uarkan?

Sebenarnya tidak! Ini kerana, setiap bangsa memperjuangkan agenda masing-masing dengan begitu ultra sama seperti generasi pertama. Semuanya berpunca daripada kesengajaan tidak mahu fahami sejarah dan pergunakan kebebasan diberikan.

Terus terang, walaupun di negara ini mempunyai aliran agama, aliran ini jauh lebih terbuka berbanding dengan aliran jenis kebangsaan yang terlalu menekankan agenda bangsa berbanding agenda negara, sehingga kita tidak tahu apakah identiti mereka yang sebenar. Jika dibandingkan orang Cina di China masih lagi terbuka, walaupun berada dalam pemerintahan komunis.

Lebih malang lagi apabila sikap ultra kiasu ini diadunkan dengan pemikiran Asian Settler Colonialism (ASC) yang diwarisi daripada generasi pertama. Pemikiran ASC seperti di Hawai’i berkait rapat dengan penghijrah dan peneroka. Tidak semua pendatang adalah peneroka.

Ada kalanya peneroka datang untuk tinggal, dan mengasaskan politik mereka menjadi bangsa yang berdaulat. Tidak berlaku penjajahan secara langsung. Tetapi mereka berstrategi mahukan kaum asal lenyap.

Orang bukan Melayu begitu sukar untuk menerima institusi Islam atau Bumiputera seperti sekolah agama, matrikulasi dan institusi Mara. Sedangkan secara umumnya boleh dikatakan orang Melayu, sama lulusan sekolah agama atau Mara, tidak ada masalah untuk menerima institusi bukan Melayu. Kenapa boleh jadi begini? Di manakah identiti bangsa Malaysia sebenarnya?

Kenapa pemikiran ultra kiasu dan ASC terus membelenggu kehidupan rakyat hari ini? Kenapa perkara yang jelas termaktub dalam Perlembagaan tidak mahu disetujui? Sedangkan umat Islam cukup bertoleransi dengan kehendak orang lain?

Mereka seolah-olah berada dalam kelompok sendiri - hidup dalam tempurung sendiri. Hujah ini diperkukuhkan lagi apabila cerdik pandai bukan Melayu apabila menulis, membentang kertas kerja atau ceramah, bersastera, berdrama, sukar sekali untuk mendengar hujah mereka dikaitkan dengan sejarah Tanah Melayu. Mereka sanggup mengorek sejarah negara lain sebagai bukti, tetapi terlalu sukar merujuk sejarah Tanah Melayu.

Sering kedengaran, mereka menggunakan hujah logik akal semata-mata, terutama merujuk kepada hak asasi manusia yang diperjuangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Rata-rata kedengaran mereka mahukan layanan sama rata dan sama rasa. Sebarang diskriminasi akan ditentang habis-habisan tanpa mahu berpaling melihat kepada sejarah negara. Apakah formula sama rata dan sama rasa ini tidak perlu bertunjangkan sejarah dan Perlembagaan?

Apa jua agenda nasional yang menggugat kononnya dikatakan hak bangsa, akan ditentang habis-habisan. Mereka berhimpun dan berdemonstrasi untuk menunjukkan kekuatan mereka. Kelompok ini juga tidak diterima  jika berhijrah ke tempat asalnya.

Sedangkan permintaan dan desakan mereka dipenuhi, walaupun tidak sepenuhnya. Pemikiran ASC dan ultra kiasu ini mesti diubah dalam pembinaan sebuah negara bangsa. Jika tidak, negara ini tidak akan ke mana-mana. Kita hanya banyak membuang masa melayan kerenah itu dan ini terutama apabila menjelang pilihan raya.

Mungkin selepas ini ada yang akan membanding tidakkah produk sekolah agama atau institusi Bumiputera seperti matrikulasi, Mara dan UiTM juga mempunyai pemikiran sebegini? Apakah dalam pemikiran mereka tidak ada ASC dan ultra kiasu? Jawapannya, ada. Tetapi sifat umat Islam ini dibendung oleh agamanya yang meraikan orang lain.