Dongeng Anwar Makin Terserlah
ANWAR IBRAHIM mungkin boleh mendabik dada mengatakan popularitinya di Indonesia begitu menonjol sekali.
Setiap kali ada ruang dan kesempatan, Ketua Pembangkang itu akan menyampaikan dakyah-dakyah yang mempamerkan beliau sebagai seorang pemimpin hebat di Malaysia.
Namun, dari satu aspek, Anwar, seorang pemimpin yang banyak tercalit dengan kes moral barangkali terlupa, tidak semua kisah dongeng yang sering dicanang beliau diterima bulat-bulat oleh rakyat Indonesia.
Modal yang kerap digunakan pemimpin ini ialah seandainya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia, segala isu yang sering tercetus dengan Indonesia akan diselesaikan dalam waktu yang terdekat.
Anwar menggambarkan beliau sebagai hero yang akan memastikan masalah tenaga kerja, isu perbatasan dan budaya yang sering menghimpit Malaysia dan Indonesia diatasinya.
Cakap memang mudah kerana Anwar sekadar mahu menjerat perhatian penyokong-penyokongnya.
Hakikatnya, Anwar terlupa bahawa semua pemimpin politik Indonesia sudah semakin masak dengan lakonan beliau.
Begitu juga dengan kenalan-kenalan terdekat Anwar di sini yang sudah mengenali warna sebenar Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini.
Isu Anwar di Indonesia sebetulnya tidak lagi relevan kerana apa yang paling utama yang wajar dilihat di sini ialah betapa situasi politik Malaysia sudah difahami dengan jelas oleh pengamal politik negara ini.
Keberkesanan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri semakin terserlah dan ini sudah terbukti melalui banyak program transformasi yang dilakukan semenjak mentadbir negara.
Justeru, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin berkunjung ke Jakarta beberapa hari lalu dan mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum tiga parti politik terbesar negara ini, persoalan mengenai Anwar tidak berada dalam senarai perbincangan.
Timbalan Perdana Menteri itu sebaliknya, memberitahu, ketiga-tiga pemimpin yang ditemui beliau iaitu Ketua Umum parti Golkar, Aburizal Bakrie, Ketua Umum parti Demokrat, Annas Urbaningrum dan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Megawati Sukarnoputeri sudah semakin jelas memahami landskap politik Malaysia.
“Tiada langsung disebut mengenai Anwar dalam pertemuan dengan ketiga-tiga Ketua Umum itu. Mungkin Anwar tidak penting.
“Mereka yang saya temui tahu keadaan sebenar. Bagi saya secara keseluruhan rakyat Indonesia memahami hubungan dua hala dan mereka tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang dilakukan pemimpin pembangkang," komen Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO kepada wartawan Malaysia mengulas rumusan pertemuan beliau dengan ketiga-tiga ketua parti politik berpengaruh Indonesia itu.
Muhyiddin amat gembira apabila ketiga-tiga parti politik itu menyatakan komitmen tidak berbelah bagi untuk terus mengakrabkan hubungan dua hala yang sedia ada.
Jaminan itu turut dikongsi oleh Aburizal yang merakamkan penghargaan dengan kunjungan Muhyiddin yang disifatkan akan mengukuhkan lagi ikatan persahabatan antara Golkar dengan UMNO.
“Bagi Golkar, kehadiran Muhyiddin merupakan satu penghormatan. Hubungan dua parti politik ini boleh menjadi landasan diplomatik yang kedua selepas hubungan baik antara pemerintah dengan pemerintah," kata Aburizal semasa berucap mengalu-alukan kehadiran rombongan Muhyiddin bersama beberapa pemimpin kanan UMNO tempoh hari.
Tentu sekali, Aburizal dan Golkar memiliki keyakinan yang teguh terhadap parti politik Melayu terbesar, UMNO yang sudah lebih separuh abad berbakti kepada rakyat Malaysia.
Justeru, mengakrabkan hubungan persahabatan dengan UMNO merupakan hal yang jauh lebih penting kepada Golkar berbanding menjalin kerjasama dengan parti lain yang perjuangannya hanya untuk kepentingan individu, bukan rakyat.
Iltizam untuk memastikan kestabilan landskap politik Malaysia dan Indonesia untuk kemajuan bersama rantau Asia Tenggara juga disuarakan oleh Annas ketika bertemu rombongan Muhyiddin.
Kerjasama yang erat antara Demokrat dan UMNO jelas Annas, mampu membawa kepada sebuah perpaduan yang erat antara kedua-dua negara.
“Kami di Demokrat mengharapkan pertemuan ini akan menjadi pintu untuk kerjasama lain pada masa akan datang dengan UMNO.
“Sebagai jiran terdekat, Malaysia dan Indonesia mempunyai sejarah yang sangat panjang. Kerana itu saya katakan masa depan Malaysia dan Indonesia penting untuk Asia Tenggara," jelas Annas yang berhajat untuk memastikan kesinambungan persahabatan dengan UMNO berkekalan.
Aburizal dan Annas mengakui, hidup sebagai jiran terdekat, kedua-dua negara tidak terlepas daripada diuji dengan pelbagai dugaan.
Bagaimanapun, beruntungnya Malaysia dan Indonesia ialah kedua-dua negara diterajui oleh pemimpin yang bijaksana dan sentiasa mendahului kemakmuran bersama.
Justeru, segala kemelut dan polemik yang tercetus lazimnya diselesaikan dalam suasana yang cukup mesra dan diplomatik.
Keunikan hidup berjiran antara Malaysia dan Indonesia ini tidak seharusnya dibinasakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan politik.
Kepercayaan dan keyakinan Golkar, Demokrat dan PDI-P terhadap kestabilan politik Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional merupakan manifestasi bahawa kemakmuran yang sedia ada seharusnya dipertahankan untuk memastikan masa depan negara terbela. Sumber utusan
No comments:
Post a Comment